....

IPT disaran hargai, jaga kebajikan Pensyarah

01/09/2010 00:54

 BUKAN fenomena luar biasa pensyarah beralih institusi atas alasan kerjaya dan pendapatan lebih baik, namun jika tidak dibendung, ia mampu merosakkan budaya penjanaan ilmu di kalangan ahli akademik.

pix_middle
pix_topright

Meskipun masih terkawal, pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan institusi dan mahasiswa tidak menjadi mangsa.


Apatah lagi, kehilangan pensyarah bermakna institusi kehilangan pakar berkelayakan dan berpengalaman, sekali gus mengganggu proses pembelajaran mahasiswa.


Persoalannya, adakah budaya ini diterima sebagai proses perkembangan ilmu dan kemahiran di kalangan cendekiawan atau hanya medium memperoleh keuntungan segera? Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak, Prof Dr Zakaria Kasa berkata, tidak timbul isu 'jual beli' cendekiawan.


Beliau berkata, penyebaran ilmu memerlukan pelbagai input termasuk tenaga pengajar berkualiti, prasarana lengkap dan modul terpilih untuk memantapkannya.


Justeru, proses peralihan institusi bukan luar biasa bagi memperkukuhkan akademik dan kepakaran.


"Pasaran pendidikan negara berkembang selaras kehendak kepelbagaian cabang ilmu dan kepakaran. Peralihan pensyarah langkah proaktif menjayakannya.


"Bukan sensasi kerana matlamatnya murni. Jika menganggapnya sebagai mekanisme jual beli, tentu tidak munasabah dan naif.


"Bukalah minda, lihat dalam konteks luas, manfaatnya kepada pelajar dan pembangunan negara pada masa depan," katanya. Meskipun terdapat kecaman, beliau yang juga Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara menyifatkannya sebagai hak individu.


Menurutnya, pelepasan tidak dilakukan sewenang-wenangnya, malah perlu mendapat keizinan dan komitmen berkaitan.


"Bagaimanapun, ia hak individu dan jika mendatangkan kebaikan, mengapa perlu disekat?" katanya Beliau berharap tiada sesiapa mempersoalkan kewajarannya kerana pensyarah perlu berdepan risiko, antaranya hilang keistimewaan seperti pencen jika tidak mendapat kebenaran.

 

 
 

"Saya kurang bersetuju budaya itu dikategorikan sebagai proses jual beli. Dalam pendidikan, keuntungan paling nyata ialah kejayaan mendidik pelajar dalam pengajian," katanya.


Ditanya adakah budaya itu kian menular di kalangan pensyarah institusi pengajian tinggi negara, Dr Zakaria menganggapnya masih terkawal.


Bagaimanapun, mengakui institusi dan mahasiswa bakal berdepan masalah kekurangan tenaga pakar berkelayakan dan berpengalaman jika tiada mekanisme diambil bagi menanganinya.


"Untuk mencari pengganti dengan kelayakan serupa, memerlukan tempoh panjang. Ia boleh mengganggu proses pembelajaran dan perancangan dibuat.

 

 

"Masih terkawal, namun langkah tertentu perlu diambil bagi memastikan kepincangan tidak berlaku pada masa depan.


"Bagaimanapun, saya yakin ahli akademik meletakkan tanggungjawab di tempat pertama. Lazimnya budaya lompat institusi berlaku di kalangan pensyarah baru yang mencari tapak lebih kukuh bagi mengembangkan kerjaya," katanya.


Bagi menanganinya, beliau berharap institusi pengajian tinggi menjaga kebajikan, selain meningkatkan jumlah pelajar pascasiswazah.


"Tujuannya menyediakan pensyarah berkelayakan bagi menampung keperluan pada masa depan, selain mencapai matlamat melahirkan 60,000 pensyarah Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2023.


"Pengukur kecemerlangan sesebuah institusi berdasarkan jumlah pensyarah berkelayakan PhD, justeru mengelakkan mereka lompat institusi, kebajikan dan peningkatan pelajar mesti dipertimbangkan," katanya.

Back

Search site

© 2010 All rights reserved.