....

Sime Darby taja 20 pelajar

01/09/2010 01:19

 SERAMAI 20 pelajar Indonesia terpilih menerima biasiswa tajaan PT Minamas Gemilang, syarikat subsidari Sime Darby Bhd di Indonesia bagi melanjutkan pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di universiti terpilih Indonesia.

Tajaan berjumlah RM868,00 itu menjadi khabar gembira buat mereka bagi meneruskan proses penjanaan ilmu.


Daripada jumlah itu, 10 pelajar akan menerima biasiswa berjumlah RM257,000 di bawah program Biasiswa Minamas - Sime Darby bagi mengikuti ijazah sarjana muda pengurusan dan perakaunan, kejuruteraan dan sains di Universitas Indonesia, Universitas Gadjah Mada, Institut Pertanian Bogor, Institut Teknologi Bandung, Institut Teknologi Sepuluh Nopember dan Universitas Riau.


Sementara itu, 10 pelajar lagi menerima biasiswa RM611,000 untuk melanjutkan pengajian di Institut Pertanian Bogor dan Universitas Gadjah Mada di bawah kerjasama PT Manimas Gemilang dengan kedua-dua institusi terbabit.


Enam daripada 10 pelajar itu yang mengikuti pengkhususan sains sosial dan vokasional di peringkat menengah akan melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Institut Bogor di bawah program Biasiswa Utusan Daerah (BUD).


Empat lagi yang mengambil jurusan sama akan melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dan diploma di Universitas Gadjah Mada di bawah program Penelusuran Bibit Unggul Pembangunan Daerah (PBUPD).


Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam berkata, tajaan itu sebagai sokongan kepada proses pembudayaan ilmu, selain memberi peluang mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.


Beliau yang juga Presiden Suruhanjaya PT Minamas Gemilang dan PT Anugerah Sumbermakmur berkata, pemberian biasiswa itu menunjukkan komitmen tinggi pihak industri untuk membangunkan sektor pendidikan.


"Mereka bukan saja memperoleh peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, malah mampu mempertingkatkan lagi nilai kemahiran dan penjanaan sumber manusia terlatih serta profesional bagi Indonesia.


"Pemilihan ini bukan berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata tapi mencakupi pelbagai aspek, antaranya kemampuan menjadi seorang pemimpin, aktif dalam kegiatan kokurikulum dan mempunyai kemahiran komunikasi baik," katanya ketika menyampaikan tajaan biasiswa berkenaan di Hotel Indonesia Kempinski, Jakarta.


Semua tajaan termasuk yuran pengajian serta elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian.

Back

Search site

© 2010 All rights reserved.