....

Universiti Bukan Platform Politik Kepartian

01/09/2010 00:52

 MAJLIS Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (MPPUiTM) berharap agar mahasiswa tidak terbabit secara proaktif dalam politik di kampus meskipun diberi kelonggaran.

Yang Dipertua MPPUiTM, Muhammad Ridhwan Mat Salleh, berkata pembabitan dalam politik secara aktif mungkin menjejaskan tumpuan belajar, sekali gus menimbulkan masalah lain sukar diatasi.


Menurutnya, mahasiswa hanya perlu fokus pada pelajaran dan menangguhkan niat berpolitik hingga masa sesuai.


"Universiti tempat menimba ilmu, justeru, jangan jadikannya platform meraih sokongan undi parti politik tertentu. "Ada pihak mahu mempengaruhi mahasiswa supaya terbabit.


"Sekarang bukan masa sesuai kerana fokus utama adalah belajar. Apabila sudah tamat pengajian, tiada siapa melarang jika mahu berpolitik.


"MPPUiTM berharap, mahasiswa tumpukan perhatian pada pelajaran, itu adalah matlamat paling penting. Jangan berpolitik kerana masanya tidak sesuai," katanya.


Muhammad Ridhwan berkata, mahasiswa sudah mempunyai landasan terbaik untuk menyuarakan pandangan, sehubungan itu, tidak perlu menggunakan medium politik untuk membangkitkan sesuatu isu atau mencari jalan penyelesaian masalah.


"Jika ada masalah, salurkan pada saluran betul yang sudah disediakan. Semua masalah boleh diselesaikan asalkan ada perbincangan serta dilakukan mengikut peraturan ditetapkan.


"Jangan suka sensasikan isu kerana universiti bukan tempatnya dan mahasiswa bukan mangsanya. Universiti institusi ilmu penuh harmoni dan menjadi platform melahirkan individu yang dapat berfikir secara liberal dan kritikal.


"Keharmonian sewajarnya tidak dicemarkan dengan politik partisan hingga memberi kesan kepada pelajaran dan hubungan sosial di kalangan mahasiswa," katanya.

Back

Search site

© 2010 All rights reserved.